Pusat Penginapan Pelajar (SAC) – Pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020, SAC telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Pengurusan Asrama ke Sarawak selama 4 hari. Lawatan disertai oleh Pengarah SAC, Pengurus Asrama dan Penolong-Penolong Pengurus Asrama SAC dan Inapan Siswa.
Dalam lawatan itu, peserta telah melawat Pusat Khidmat Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Syarikat pembuatan penginapan alternatif iaitu Taracon Cabin Container Sendirian Berhad serta Perpustakaan Negeri Sarawak. Pengarah SAC, Puan Roslina Abdullah berkata lawatan ke Unimas adalah bertujuan untuk melihat pengurusan penginapan pelajar badan beruniform, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pengurusan food bank.
Selain itu lawatan ke Dewan Bandaraya Kuching Utara yang telah diiktiraf sebagai Pemenang Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat kebangsaan Tahun 2016 adalah untuk melihat pengurusan risiko yang telah dijalankan sehingga diiktiraf di peringkat kebangsaan. DBKU juga telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik pelaksanaan Amalan 5S yang kini dijenamakan semula kepada Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) . Secara khususnya, penjenamaan semula ini dilaksanakan bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif; menyemarakkan aktiviti kreativiti dan inovasi dan menggalakkan aktiviti ke arah mewujudkan persekitaran hijau melalui pembudayaan Amalan Hijau.
Dalam lawatan hari kedua ke Syarikat Taracon Cabin Container , Encik Gordon Lim selaku Pengarah Eksekutif Operasi telah memberi penerangan kepentingan cabin dalam kawasan terpencil seperti taman negara dan pergunungan. Pengarah program, Puan Siti Aisyah Yahya berkata lawatan ke syarikat ini adalah bertujuan meninjau aspek penginapan alternatif kepada pelajar yang boleh dijadikan idea dan realiti memandangkan trend tiny house dan simple living kian berkembang di negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
“Lawatan selama 4 hari 3 malam itu memberi pelbagai pengetahuan dan pendedahan baharu yang boleh diaplikasikan dalam pengurusan asrama UUM dimasa akan datang” menurutnya lagi.