9 Jun 2020 (Selasa) bersamaan 17 Syawal 1441H - Genap 84 hari Bilik Gerakan PKP Covid-19 UUM beroperasi, ia ditutup secara rasmi hari ini berikutan keadaan yang mulai pulih dan negara telah beralih ke fasa Perintah Kawalan Pengerakan Pemulihan(PKPP). Bilik gerakan Covid-19 UUM ini dibuka 24 jam sehari bertempat di Bilik Mesyuarat SAC sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 1,2&3 serta PKPB.
Penubuhan Bilik Gerakan ini bertujuan menjaga kebajikan pelajar yang terkandas di kampus bermula tempoh Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.
Bermula daripada memastikan keperluan asas pelajar terjaga seperti makan minum, kesihatan, pengerakan pelajar keluar masuk kampus bagi kes tertentu, pengurusan data pelajar menerusi arahan KPT, penghantaran pulang pelajar ke kampung halaman dengan kerjasama pihak universiti bersama PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Tinggi serta pihak UNIC telah berupaya memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar berada pada tahap terbaik.
Pihak Pengurusan Bilik Gerakan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua staf/sukarelawan yang sudi menyumbang tenaga dan keringat tanpa mengenal erti penat lelah sepanjang 84 hari bilik ini beroperasi.