UUM ONLINE: Seramai 1,800 pelajar universiti ini menarik nafas lega apabila dibenarkan kembali ke kampus untuk mengambil barangan peribadi masing-masing sejak 1 Julai lalu.
Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Dr. Massudi Mahmuddin berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada pelajar untuk kembali semula ke kampus bagi mengambil barang mereka.
Menurutnya, selain mengambil semula barangan mereka, ada yang pulang ke kampus untuk mendapatkan liputan internet yang lebih baik bagi meneruskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara online.
Katanya, ada juga segelintir pelajar tahun akhir yang kembali untuk menyiapkan laporan dan tesis, menyelesaikan keperluan akademik serta temu janji dengan pensyarah dan penyelia.
“Oleh itu, UUM telah membenarkan 1,800 pelajar kembali semula ke kampus bagi tujuan mengambil barangan peribadi, kenderaan atau meneruskan pengajian, seterusnya membuat pengosongan bilik bermula pada 1 dan 2 Julai secara berperingkat dan berjadual.
“Pelajar dari di Inapan Siswa (INASIS) MAS, Proton, BSN, MISC, Tradewinds, Petronas, Yayasan Al Bukhary dan SME Bank dibenarkan datang pada 1 Julai dari jam 10 pagi hingga 3 petang, manakala pelajar dari INASIS TNB, Bank Muamalat, Grantt, Sime Darby, TM, Maybank, Universiti Inn dan Bank Rakyat pada 2 Julai,” katanya.
Dr. Massudi berkata, pelajar yang memohon untuk meneruskan pengajian juga mengambil barang pada tarikh yang sama di INASIS masing-masing dan terus mendaftar di INASIS Petronas.
Menurutnya, pelajar diingatkan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Universiti demi kesihatan dan keselamatan bersama.
Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Muhammad Azri Tajudin bersyukur kerana dapat kembali ke kampus untuk mengambil barang miliknya yang sudah lama ditinggalkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.
“Saya balik rumah sehari sebelum PKP, jadi banyak barang yang ditinggalkan di kampus seperti baju, dokumen penting dan motosikal hampir tiga bulan.
“Apabila pihak HEP menyalurkan maklumat menerusi Facebook dan Whatsapp, saya terus ke UUM dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya.