UUM ONLINE: Meskipun tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) telah berakhir, namun pengorbanan petugas barisan hadapan (frontliners) tidak pernah dilupakan apabila mereka diraikan dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Kepada Petugas Frontliners, Pencapaian MyRA dan Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik di Dewan Mu’adzam Shah, baru-baru ini.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, operasi UUM serta UUM Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) telah ditutup susulan daripada Perutusan Khas Perdana Menteri berhubung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac lalu di seluruh negara.
Menurutnya, sepanjang tempoh itu, staf akademik dan pentadbiran mula bekerja di rumah kecuali mereka yang diarahkan bertugas oleh Ketua Jabatan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat jabatan yang beroperasi seperti biasa selaras dengan garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya Jabatan Keselamatan, Pusat Kesihatan Universiti, Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan, Jabatan Bendahari, UUMIT, CIAC, Perpustakaan Sultanah Bahiyah dan HEP/INASIS dengan bilangan staf yang minimum.
“Syabas diucapkan kepada semua petugas yang memeras keringat untuk mengawal penularan wabak Covid-19 bermula sejak awal PKP lagi.
”Jawatankuasa Pengurusan Bencana UUM juga telah diwujudkan untuk menyelaraskan keperluan semasa tempoh PKP dan pihak universiti juga mengeluarkan pekeliling yang berkaitan dengan hal ehwal pengurusan dan pentadbiran universiti dalam tempoh tersebut,” katanya.
Naib Canselor berkata, dalam menghadapi pandemik Covid-19, UUM terus merancang pelbagai strategi yang disusun atur dan digerakkan untuk memastikan pendidikan tinggi kekal berada pada tahap yang terbaik serta menjalankan pelbagai projek khas termasuk aktiviti sebagai pengisian kepada pelajar yang tidak dibenarkan pulang dalam tempoh PKP.
Tambahnya lagi, penghargaan turut diberikan kepada agensi luar seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah yang terlibat dalam Ops Penghantaran Pulang Pelajar pada 22 April hingga 28 Mei lalu.
Pada majlis sama, Naib Canselor merakamkan penghargaan kepada semua warga kampus yang bekerja keras sehingga membolehkan UUM mendapat penarafan 5 bintang dalam Malaysian Research Assessment Instrument (MyRA) untuk tahun 2017 dan 2018 yang diumumkan pada 16 Mac lalu oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Dr. Noraini Ahmad.
“Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang terbaik yang pernah dicatatkan berbanding dengan pencapaian 4 bintang pada tahun 2016 dan 3 bintang pada tahun sebelumnya.
“Terima kasih kepada pihak yang terlibat terdiri staf akademik dan pentadbiran di semua pusat tanggungjawab serta pusat pengajian dalam menjayakan pengumpulan data MyRA 2017 dan 2018,” katanya.
Turut diraikan seramai 16 staf akademik yang menerima watikah kenaikan pangkat melibatkan 11 staf dinaikkan pangkat ke jawatan Prof. Madya dan lima lagi adalah pensyarah kanan.
Naib Canselor berkata, semoga kenaikan pangkat itu akan membangkitkan lagi keinginan semua penerima untuk memperteguhkan komitmen dan menggalas tanggungjawab dengan semangat yang lebih berkobar-kobar demi memacu universiti ke tahap yang lebih tinggi lagi.